SPM Countdown
MEMASUKI 2024, dunia pendidikan di Malaysia berada dalam fasa akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Antara objektif pelan berkenaan adalah memastikan setiap murid mempunyai hak sama rata dalam mendapat peluang pendidikan yang selayaknya, walaupun berada di rumah.
Inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini bertujuan mengembangkan pendidikan dalam talian bagi memastikan setiap murid mampu mendapat capaian kepada pendidikan berterusan bagi mencapai potensi diri yang optimum.
Sebelum ini, pada 2020 kerajaan melancarkan pelantar pembelajaran digital 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia' (DELIMa) khusus untuk pendidikan sekolah di bawah KPM. DELIMa memfokuskan kepada penyediaan sumber, panduan dan maklumat lengkap kepada guru juga murid yang boleh diakses di mana-mana pada bila-bila masa.
Pengalaman penulis mengakses DELIMa mendapati pelantar itu lengkap dan mudah untuk digunakan, terutama bagi pelajar mencari juga berkongsi bahan pembelajaran sesama mereka. Memetik laporan KPM sendiri, setakat 9 November lalu sebanyak 85 peratus atau 4.1 juta murid sudah mengakses pelantar DELIMa bagi tujuan pembelajaran dalam talian. Malah, pelantar DELIMa juga diakses 99.5 peratus atau 420,000 guru dalam tempoh sama.
Selain DELIMa, KPM turut meneruskan kesinambungan TV Pendidikan yang dilancarkan kerajaan sejak 1972, iaitu Eduweb TV. Eduweb TV yang dilancarkan pada 2008 boleh diakses melalui laman rasmi YouTube 'Eduweb TV KPM'. Pemerhatian yang dilakukan di laman rasmi Eduweb TV KPM mendapati saluran itu aktif dalam menyediakan video pendidikan untuk segenap lapisan peringkat pelajar di sekolah.
Lahirkan murid fasih digital
Ia tidak terbatas dalam konteks pembelajaran di sekolah sahaja, saluran itu turut menyediakan maklumat terkini mengenai hal ehwal pendidikan negara semasa. Pengguna hanya perlu menaip kata kunci yang ingin dicapai dan ia sudah boleh diakses.
Pada November lalu juga, KPM melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara secara dinamik dan berterusan. Memetik ucapan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, 'menerusi pembentukan generasi yang fasih digital serta penekanan aspek karamah insaniah, murid berupaya menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.
Dasar yang dibentuk ini mampu melahirkan murid fasih digital seterusnya dapat menghasil dan mencipta inovasi, menganalisis data secara saintifik, menyelesaikan masalah serta berkomunikasi juga bekerjasama dengan berkesan.
Malah, sebelum ini Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berkata, DPD akan diluncurkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Namun, di sebalik usaha dijalankan KPM dalam meluaskan capaian pendidikan ke seluruh negara, ada beberapa halangan perlu diatasi bagi mencapai objektifnya. Antaranya adalah masalah kekangan pemilikan peranti elektronik dan motivasi dalam kalangan pelajar. Faktor utamanya adalah kekangan wang ringgit dan tahap ketersediaan pelajar untuk menggunakan peranti mudah alih dalam pembelajaran.
Merujuk pada artikel dan kajian yang dijalankan sebelum ini dalam kalangan pelajar sekolah menengah mendapati, tahap kesediaan murid terhadap penggunaan peranti mudah alih bagi sesi pembelajaran adalah rendah.
Kesimpulannya, sistem pendidikan di Malaysia kini berada dalam landasan yang betul. Akan tetapi ada beberapa halangan dan cabaran yang penulis rasakan ia adalah tanggungjawab kita bersama.
Selain KPM berusaha sebaiknya bagi memantapkan sistem pendidikan sedia ada, semua genap lapisan masyarakat juga perlu turut berperanan dalam membentuk generasi berdaya saing, maju dan berpendidikan untuk mengharungi masa depan yang mencabar, terutama ketika dunia kini memasuki Industri Revolusi 4.0.
Sumber: Utusan Malaysia Januari 26, 2024 @ 9:27am