• Hubungi Kami
    +603-8888-0248
  • Hantarkan Kami
    pengetua@smkpp16.edu.my
  • SPM Countdown

BERITA SEKOLAH

Perkasa pendidikan negara, 7 teras utama nadi keunggulan KPM


KUALA LUMPUR, 24 Januari- "Murid ceria, Guru bahagia, Sekolah bitara dan Negara sejahtera".

Konsep Kementerian Pendidikan bertunjangkan tujuh teras utama itu, dijadikan landasan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025.


Seiring dengan aspirasi kementerian tersebut, rangka Madani turut memenuhi dan melengkapi gerak kerja yang dilaksanakan KPM.

Selain memperkasa pendidikan negara, tujuh teras utama memberi penekanan kepada semua aspek, merangkumi keperluan pelajar, ibu bapa dan guru.

Menurut, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali, ia turut akan menjadi hala tuju bagi menangani isu dalam aspek pendidikan termasuk isu beban warga pendidik.

"Kadang-kadang kita lihat beban itu berlaku apabila arahan yang agak berbeza daripada apa yang telah disampaikan dari peringkat kementerian ke peringkat negeri, ke peringkat daerah, berubahnya arahan itu, mungkin penegasan yang semakin meningkat ke atas sesuatu perkara itu.

"Di peringkat awal sudah difikirkan supaya tidak membebankan, tetapi kerana mungkin ada isu komunikasi perkara ini berlaku. Oleh kerana itu, dalam teras pertama yang kita tekankan supaya komunikasi antara KPM dan sekolah itu berjalan dengan berkesan", katanya kepada RTM.



(Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia,
Datuk Pkharuddin Ghazali)


Selain meneruskan dasar-dasar sedia ada, penambahbaikan dari segi kaedah pelaksanaan turut diberi tumpuan terutama dari segi aspek reformasi.

"Setiap lapisan peringkat pengoperasian sama-ada secara formal ataupun informal saling berbincang atau berkomunikasi, saling memahami untuk menyambut setiap satunya.

"Supaya kita boleh dapat satu kejayaan melahirkan anak yang boleh memasuki masyarakat satu hari nanti dengan kekuatan ilmu dan akhlak yang ada pada diri mereka.

Sukatan pembelajaran negara pula masih tidak jauh berbeza, namun peruntukan masa pengajaran bagi sesuatu topik akan ditambah baik.

"Jadi untuk melihat perubahan dalam sukatan kurikulum kita ini, mungkin mengambil sedikit masa.

"Apapun peringkat kementerian, kita berusaha untuk beri siri latihan kepada guru-guru supaya kepakaran guru semakin tinggi dan mereka mampu melaksanakan pengajaran yang lebih berkesan", katanya.

Dengan menitikberatkan pembangunan adab, akhlak dan integriti, Kementerian Pendidikan kini dalam usaha melahirkan generasi yang berakhlak dan pintar.

Bagi membantu usaha berkenaan, Majlis Penasihat Pendidikan Malaysia (MPPK) yang terdiri daripada anggota yang berlatar belakang bidang pendidikan, mengesyorkan cadangan yang relevan dari masa ke semasa.

Laporan disediakan oleh Rufina Merry Ambrose